Tuesday, June 1, 2010

SERANGAN ISRAEL TERHADAP KONVOI BANTUAN KEAMANAN...!


GAZA, 31 Mei (Al Jazeera) - Tentera Israel telah menyerang konvoi flotila kapal bantuan yang mempunyai sasaran untuk memecahkan pengepungan negara di Gaza.

Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dan berpuluh-puluh orang lagi cedera ketika pihak tentera memintas dan menyekat kemaraan konvoi kapal pada pagi Isnin, menurut laporan radio Israel.

Konvoi flotila kapal tersebut diserang di perairan antarabangsa, 65km di luar pantai Gaza.

Visual daripada kapal yang mengetuai konvoi flotila, Mavi Marmara, menunjukkan tentera Israel yang bersenjata menaiki kapal dan helikopter terbang di atasnya.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal, yang berada di atas kapal Mavi Marmara, mengatakan tentera Israel telah menggunakan peluru hidup sepanjang operasi serangan.

Tentera Israel berkata empat tentera mengalami kecederaan, dan menyatakan tenteranya melepaskan tembakan selepas penunjuk perasaan di atas kapal menyerang staf tentera laut IDF dengan tembakan peluru hidup dan senjata ringan termasuk pisau dan belantan.

Walau bagaimanapun, Gerakan Pembebasan Gaza yang menjadi penganjur konvoi flotila mengatakan tentera melepaskan tembakan sejurus mereka menyerang kapal.

Campur tangan Israel

Sebelum serangan, Tentera Laut Israel telah menghubungi kapten kapal Mavi Marmara, meminta beliau untuk memberitahu identiti dan lokasi kapal itu akan pergi.

Tidak lama selepas itu, dua kapal angkatan laut Israel menghimpit konvoi flotila di kedua-dua sisi dari jauh.

Penganjur konvoi flotila yang membawa 10,000 tan bantuan kemanusiaan kemudiannya mengalihkan laluan kapal mereka dan memperlahankannya bagi mengelakkan konfrontasi pada waktu malam.

Mereka juga mengeluarkan kesemua jaket keselamatan penumpang dan meminta mereka untuk terus berada di bawah dek kapal.

Ayman Mohyeldin daripada Al-Jazeera, melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu amat mengejutkan.

"Semua imej yang dipaparkan daripada para aktivis yang berada di atas kapal-kapal tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah orang awam dan dalam keadaan aman, dengan bekalan perubatan di atas kapal. Perkara ini akan mengejutkan banyak pihak di dalam komuniti antarabangsa untuk mempelajari tentang perkara apa yang mungkin boleh menyebabkan konfrontasi sedemikian", katanya.

Sementara itu, polis Israel telah berada dalam keadaan bersiap sedia di semua kawasannya untuk mengelakkan gangguan awam.

Protes

Banyak pihak telah segera mengutuk tindakan Israel.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, secara rasmi mengumumkan tiga hari berkabung di atas kematian pada hari Isnin.

Ribuan penunjuk perasaan Turki cuba menggempur konsulat Israel di Istanbul selepas berita operasi serangan tersebar luas. Para penunjuk perasaan berteriak "Israel celaka" sementara pihak polis menghalang mereka.

Turki juga dilaporkan telah memanggil Duta Besar Israel bagi mengutarakan protes.

"(Sekatan pada konvoi itu) tidak boleh diterima ... Israel harus menanggung akibat daripada tindakan ini", kata kementerian luar negara Turki dalam satu kenyataan.

Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas di Gaza, juga mengatakan tindakan Israel sebagai tindakan "kejam".

Ratusan aktivis pro-Palestin, termasuk seorang pemenang Nobel dan beberapa ahli majlis undangan Eropah, bersama di dalam konvoi flotila tersebut, bermatlamat untuk tiba di Gaza yang bertentangan dengan sekatan Israel.

Tetapi Israel telah mengatakan mereka tidak akan membenarkan konvoi flotila kapal untuk sampai ke Jalur Gaza dan berjanji untuk menghentikan enam kapal lagi daripada sampai ke pantai wilayah Palestin.

Konvoi flotila bantuan mula belayar dari pelabuhan di Cyprus pada hari Ahad dan menyasarkan untuk sampai ke Gaza pada pagi Isnin.

Israel memberitahu, kapal-kapal konvoi memulakan "tindakan provokasi" terhadap tentera Israel dan bukannya memberikan bantuan, lalu waran dikeluarkan untuk melarang mereka masuk ke Gaza.

Mereka menegaskan bahawa konvoi flotila bantuan akan menyalahi undang-undang antarabangsa dengan mendarat di Gaza dan dakwaan ini ditolak oleh pihak penganjur konvoi.

*P/S :
sumber :http://wajah-ummah.blogspot.com/2010/05/israel-serang-konvoi-kapal-bantuan-ke.html

No comments: